Wednesday, February 21, 2007

Kapalku Karam

Sesungguhnya kesunyian di negara orang ini membuatkan diriku lebih mengingati akan Maha Kuasa. Bila difikirkan balik, aku tidak pernah betul-betul meletakkan Allah di takhta nombor satu hatiku, dan aku juga tidak ingin berpura-pura mengatakan bahawa sekarang Allah benar-benar berada di takhta nombor satu dalam hatiku.

Apabila ayah, emak, rakan-rakan, dan segala macam kesenangan yang biasa aku perolehi tiada lagi bersamaku, aku bagaikan seorang survivor yang terkapai-kapai di tengah lautan yang luas apabila kapal yang dinaikinya karam. Betapa aku sedar bahawa selama ini aku sangat bergantung kepada mereka dan mungkin terlalu bergantung terutamanya kepada kesenangan kehidupan aku selama ini (Belum mati lagi ini).

Apabila aku hilang akan semua tempat bergantung ini, barulah aku terhegeh-hegeh mencari tempat bergantung yang sentiasa berada disisiku cumanya aku tidak mempedulikannya selama ini. Bukan tidak pernah aku mendengar ayat “Allah (Alone) is Sufficient for us, and He is the Best Disposer of affairs (for us).” [3:173], cumanya ayat itu masuk telinga kiriku dan keluar telinga kananku tanpa meninggalkan apa-apa kesan. Allah is Sufficient for us. Ya, aku memang menerima ayat ini sejak dulu lagi, tetapi ayat ini berada dalam fikiranku hanya ketika aku membaca qolu hasbunallahu wa ni’mal wakil. Tidak pernah ia terserap dalam sanubariku.

Semasa penerbanganku ke Toronto, aku menyedari bahawa aku tertinggal surat kebenaran untuk membuat visa Canada di airport Frankfurt (stop over), dan semasa itu memang lidahku tidak berhenti berzikir dan berdoa meminta kepadaNya dipermudahkan urusanku. Alhamdulillah aku tidak menghadapi sebarang masalah di imigresen Toronto. Surat itu telah ayahku fax ke imigresen tersebut sebelum kapal terbang yang aku naiki mendarat di bumi Toronto lagi. Aku masih teringat kata-kata pegawai imigresen itu, “Young man, you should not forget something as important as this.” Aku hanya mampu tersenyum. Sudah tentu aku sangat lega, gembira dan bersyukur kepada Allah pada hari itu. Perasaan gembira aku bercampur baur denga rasa bersalah. Jika difikirkan balik, aku tidak pernah (atau jarang sekali) membasahi lidahku dengan zikrullah kecuali apabila tersempit dan tidak dapat memikirkan jalan keluar.

Membasahi lidah dengan zikr bukanlah menjadi isu utama sebenarnya. Maksud aku, banyak lagi masalah-masalah yang lebih besar dengan diriku ini. Barangkali, aku sudah hanyut dalam pelbagai nikmat dunia dan terus terang, aku pun tidak tahu di mana Allah dalam hatiku (kecuali bila dalam kesusahan). Handphone yang dibeli hendak canggih-canggih sahaja. Kononnya banyak functions, tetapi kebenarannya ingin mengikut trend dan ingin berbangga juga. Jenama atau Brand diberi keutamaan dalam membeli apa-apa barang pon- termasuk pakaian. Akal mengerti akan suruhan ‘merendahkan pandangan’, tetapi mata mengikut kata-kata nafsu sekali-sekala.

Kebenarannya, mana mungkin seorang hamba benar-benar khusyu’ dalam solat apabila diri sudah dimamah nikmat duniawi. Sifirnya senang sahaja: apabila seseorang itu solat dia boleh memilih untuk mengingati Allah atau perkara-perkara duniawi. Bukanlah aku ingat handphone, brand, sebagainya dalam solatku, tetapi perkara-perkara tersebut bertakhta dihatiku, sehingga mengingati Allah itu tidakku nampak lagi nikmatnya. Perkara paling penting: Aku seorang sahaja yang mengerti akan diriku sebenar. Keluarga aku sentiasa menganggap aku ini ‘alim sebab aku ini dulu mengaji agama sikit. Begitu jugalah dengan rakan-rakanku. Senang cerita, kapalku sarat dengan pelbagai benda-benda lagha tetapi luaranya tampak indah sahaja.

Semasa aku terkapai-kapai di tengah lautan itu, sudah tentu aku menunggu kapal lain untuk menyelamatkan aku. Ditakdirkan ada pula sebuah kapal kargo besar berwarna hijau sedang berlayar ke arahku. Di tepi veselnya tertulis al-Ghazali dalam tulisan khat jawi yang sungguh indah.

Aku sangat tertarik dengan tulisan-tulisan al-Ghazali. Bukan tak kenal siapa Imam al-Ghazali di bangku sekolah dahulu. Bukan juga tidak pernah dengar tentang kitab ulungnya Ihya’ Ulumuddin. Tetapi diri ini tidak ingin mengambil tahu. Di dalam fikiranku, tidak pernah pula aku belajar tentang masalah hati ini di bangku sekolah dahulu. Adakah aku sahaja yang tidak sedar dahulu? Ataupun, adakah ia tidak diajar kerana tulisan seperti al-Ghazali ini menjurus ke arah kesufian? Namun, tidak dinafikan aku jumpa ‘bende-benda pelik’ dalam kitab-kitab al-Ghazali yang tidak pernah aku dengari sebelum ini. Bagi aku, apa yang keruh itu dibuang, apa yang baik itu diambil. Cumanya, memang perlu berhati-hati lah di sini.

Aku tidak terus melompat naik ke atas kapal tersebut. Dalam aku sebok menimbang akan keputusanku, sedar tak sedar, ia sudah berlayar meninggalkan aku. Mungkin ada hikmahnya dan hanya yang Maha Kuasa sahaja yang mengetahui. Begitulah kisah kapal kargo al-Ghazali yang sedikit mencurigakan. Apa yang pasti, ia menghidupkan semula harapanku untuk terus menunggu dan mencari jalan keluar dari lautan luas ini yang cuacanya sangat tidak menentu. Kemudian aku….

Apa Ibn Kathir kata tentang Imam al-Ghazali:-
Menurut Ibn Kathir : (pada hari hayat) dia telah pulang ke negerinya Thusi dan tinggal disana, membentuk perhubungan, mengadakan rumah yang baik, menanam tanan-tanaman di kebun yang indah, membaca al-Quran dan menghafal hadith-hadith sahih..... dikatakan pada akhir hayatnya, beliau lebih cenderung kepada mendengar hadith-hadith al-Bukhari dan Muslim dan menghafalmnya. (al-Bidaayah wa al-Nihaayah 12/174).

No comments:

Post a Comment