Wednesday, May 21, 2008

Jauhilah Memburukkan Manusia atas Nama Tuhan!

Kenapa kita (manusia) lemah terlalu cepat mahu menghukum sesama manusia ? Tidak perlu menjadi dukun, meramal situasi orang lain sebaliknya anda cuma perlu memperbaiki situasi diri anda dan keadaan yang berlaku dengan beramal sebagai manusia yang baik setiap masa, di mana-mana dan suka membantu dan merahmati orang lain.

"Melayani orang lain seperti mana anda ingin diri anda dilayani."

Jadilah Hamba yang Penyayang kepada Tuhan Yang Penyayang

Sabda rasululah :
"Orang-orang yang penyayang, mereka itu akan disayangi oleh Allah Tabaaraka wa Ta'ala (Yang Maha berkat dan Maha Tinggi). oleh kerana itu sayangilah orang-orang yang di muka bumi, nescaya zat yang di atas langit akan menyayangi kamu". (Hadis Sahih. Diriwayatkan oleh Abu Dawud No. 4941. Ahmad 2/160. Hakim 4/159. dari jalan Abdullah bin 'Amr bin 'Ash. Hadis ini telah disahihkan oleh Imam Hakim dan telah pula disetujui oleh Imam Zahabi)

Juga disebut dalam hadis yang lain :

"Barangsiapa yang tidak menyayangi orang yang di muka bumi, nescaya tidak akan disayang oleh zat yang di atas langit". (Hadis Sahih, diriwayatkan oleh Imam Thabrani di kitabnya "Mu'jam Kabir No. 2497 dari jalan Jarir bin Abdullah. Imam Zahabi)

Perlu bagi para pendakwah (penyeru) agama ini memahami bahawa matlamat Islam ialah membawa manusia kepada jalan yang diredhai tuhan dan ianya berlaku dengan penuh kewaspadaan dan jauh dari kecelaruan dan kecuaian.

Oleh itu wajar seruan menuju kepada tuhan dilakukan dengan berhati-hati dan penuh keikhlasan untuk menyeru manusia menuju kebaikan dan kebahagian bukan untuk memuaskan hati sesiapa atau untuk mencapai apa-apa kepentingan.

Sekiranya anda tidak dapat melakukan usaha seruan, sering terpesong oleh belitan syaitan dengan asyik suka menghukum dan memburukkan mana-mana manusia di atas nama tuhan maka hentikanlah dakwah anda kepada kami, kerana kami manusia yang berdosa ini tidak mahukan wakil tuhan yang hanya tahu menghukum kami tetapi kami memerlukan wakil manusia yang akan mengeluarkan kami dari dosa membantu kami dari kesalahan dan membimbing kami menuju keredhaan.

Lailahaillallah....wahdahu la syarikalah...

Moga pintu taubat masih terbuka untuk kami ya Allah
Berikanlah kami wakil dan pemimpin yang akan membantu kami
bukan orang-orang yang hanya tahu mencela dan menghina kami
menyusahkan hidup kami di atas pembohongan nama-Mu ya Allah !

* Pesanan untuk diri sendiri. Moga aku dapat belajar menjadi hamba Tuhan, dan bukan omong-omongan kosong sahaja. Dipetik daripada cebisan post Antara Wakil Tuhan dan Hamba Tuhan, Sangat Jauh Beza Maksudnya!

No comments:

Post a Comment